Qiamullail, Tazkirah Khas imarahkan Ramadan



Siaran Akhbar dan Foto : Ihsan Takmir Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 6 Mac. - Majlis Qiamullail dan Tazkirah Khas bersempena Bulan Ramadan telah diadakan awal pagi tadi, bertempat di Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar, bermula pukul 2.30 pagi.


Majlis ini dianjurkan dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar bersama Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan An-Naafii Co.


Acara ini bertujuan mengimarahkan masjid sepanjang bulan Ramadan serta menggalakkan umat Islam menghidupkan malam dengan ibadah qiamullail dan pengisian ilmu.


Majlis dimulakan dengan Solat Sunat Tahajud dan Taubat diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid berkenaan, Awang Muhammad Tsuufiy bin Haji Abd. Wahab.


Hadir selaku tetamu khas pada majlis itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.


Turut hadir sama ialah Dato Seri Setia Haji Awang Ali bin Apong dan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, selaku Penaung Bersama Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar.


Kemuncak majlis ialah Tazkirah Khas yang disampaikan oleh Profesor Dr. Ustaz Haji Abdul Somad bertajuk “Qiyamullail dan Kebangkitan Ummah: Dari Masjid ke Kehidupan".


Penganjuran majlis seperti ini diharap dapat terus mengimarahkan masjid sebagai pusat ibadah, ilmu dan penyatuan masyarakat Islam di Negara Brunei Darussalam.


Close